Thursday, July 29, 2021

Kita Hanya Manusia Biasa

Kita hanya manusia biasa.

Yang alpa yang lupa.

Kadang hanya tahu menadah tangan meminta dari yang Maha Esa.

Namun, mengucap syukur boleh dibilang dengan jari sahaja.


Kita hanya manusia biasa.

Seorang peminta yang sering terlupa timbangan amalan menyenget ke kiri.

Solat hanya cukup sekadar tujuh belas rakaat sehari.

Mengaji? Cukup sekadar bacaan di dalam solat.

Akan tetapi, permintaan berjela-jela.


Kita hanya manusia biasa.

Hari ni sujud, hari esok terkinja-kinja.

Hari ni memohon ampun, hari esok melakar dosa.

Hari ni menangis sedu sedan, hari esok ketawa ria.

Ya Allah, masih ada ruang untuk aku si pendosa?


Kita hanya manusia biasa.

Musibah menimpa, Quran dibaca.

Semasa meminta bermanis kata.

Ketika berada, zikir terlupa.

Memuji yang Esa, entah bila.


Kita hanya manusia biasa.

Harus mula walau sekecil usaha.

Harus istiqomah setelah bermula.

Kerana Allah memandang pada usaha.

Adakah kita terus USAHA untuk berada di jalanNya.

Adakah kita terus USAHA untuk terus sujud padaNya.

Adakah kita terus USAHA  untuk medapatkan tiket ke syurgaNya.


Usaha dan terus berusaha.

Mungkin kecil di mata kita, tapi besar ganjaran di SANA.

Mungkin nampak tak seberapa, namun mulia di sisiNya.

Mungkin tidak punya ganjaran harta, namun ganjaran pahala membukit di Syurga.


Wallahualam 



Wednesday, January 27, 2021

Terkilan Itu Selalu Hadir Tatkala Segalanya Sudah Terlewat

Bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Sambil melayan muatan perasaan yang melebihi had.

Hati berselimut gundah, jiwa berbantalkan kesal.

Semakin difikirkan, semakin sakit untuk ditelan.


Hari pertama, aku masih dalam fasa belum menerima.

Hati giat berkata, tiada apa yang berbeza.

Minggu pertama, aku masih tak berjaya mentafsir kisahnya.

Terlayang fikiran; kosong entah ke mana.

Bulan pertama, aku mula dirundum kesunyian.

KETIKA itu, aku mula sedar sedang berlaku sebuah kehilangan.

Kehilangan yang berpanjangan.


Melihat di dalam kamar, sosok tubuh itu sudah tiada.

Mencari di segenap sudut, suara itu tidak kedengaran.

Menjengah ke ruang dapur, haruman tumisan tiada lagi.

Melihat ke taman, pokok bunga semakin layu tidak bertuan.

Merayau aku tidak keruan....

Langsung tidak aku menemui jiwa yang telah hilang dibawa pergi.


KETIKA itu, tertolak aku ke suatu dunia gelap dan kelam.

Tangisan aku tidak kedengaran.

Jeritan aku tertahan-tahan.

Karena aku tahu, segala itu tidak berjaya untuk mengembalikan.


Terlalu banyak yang belum aku tunaikan.

Terlalu banyak dosa semalam yang belum aku pohon kemaafan.

Terlalu anak ini tumbang oleh perasaan.

Terlalu payah untuk anak ini bangkit melihat awan.

Terlalu berat kaki anak ini ingin memijak bumi Tuhan.

Terlalu banyak hati mu yang telah aku guriskan.


Duhai Tuhan, kenapa selalu datangkan terkilan di saat segalanya sudah terlewat?

Demi Tuhan, andai aku punya sesaat cuma.

Izinkan aku melihat kembali senyuman dan hangatnya dakapan seorang insan.

Mak, Adik rindu~


Thursday, May 30, 2019

Seguni dan Seuncang



"Orang yang pulang ke rumah selalunya membawa sesuatu yang lebih baik untuk orang yang sudah sedia ada berada di rumah"

Seorang muallaf itu mampu menjadi lebih baik dari kita yang sejak lahirnya adalah sebagai seorang muslim.

Kenapa?

Kerana mereka istiqomah mencari diri mereka.
Berterusan mencari tuhan mereka.
Berbanding kita, yang sungguh selesa dengan apa yang kita sangka kita tahu.
Walhal, kita hanya sekadar tahu, akan tetapi kita tidak cuba memahami dan mendalami.

Kesempurnaan itu, takkan ada pada manusia.
Tapi, mencari yang sempurna (Tuhan), itu tugas manusia.

Cerminkan diri.
Mereka yang pulang selalunya membawa seguni Ilmu, seuncang Ego.
Malahan kita yang terlahir sebagai Islam. Mempunyai seguni Ego, seuncang Ilmu.

Wallahualam.

#IslamItuIndah #IslamItuMudah #TintaDanPena

Friday, March 29, 2019

Naskah Cinta Buat Mak 1.0

M A K

jika Adik tahu itu kali terakhir.
akan Adik hargai setiap detik bersama Mak.
akan Adik turutkan segala kehendak dan hasrat Mak.
kerana esok tidak akan timbul sesalan dalam hati.

jika Adik tahu itu kali terakhir.
akan Adik peluk Mak seerat mungkin.
akan Adik kucup Mak sepuas hati.
kerana esok tiada lagi diri Mak untuk Adik.

jika Adik tahu itu kali terakhir.
akan Adik rakam senyuman dan kerenah Mak.
akan Adik ungkapkan ucapan sayang berulang kali.
kerana esok Adik tidak dapat melihat Mak lagi.

jika Adik tahu itu kali terakhir.
tidaklah Adik membuat Mak berasa marah.
tidaklah Adik membiarkan Mak menangis.
kerana esok tidak dapat Adik menemani Mak lagi.

jika Adik tahu itu kali terakhir.
tidaklah Adik menaruh harapan untuk hari esok.
tidak perlulah Adik merancang pelbagai rencana.
kerana esok segalanya hanya akan dijalani oleh Adik sendiri.

sesungguhnya....
jika Adik tahu itu kali terakhir.
berkatalah Adik pada hati.
agar menjadi lebih teguh berdiri.
supaya esok Adik tidak akan menangis begini.

jika Adik tahu itu kali terakhir.
akan Adik ukirkan senyuman buat Mak.
akan Adik tertawa bersama Mak.
supaya esok Mak tahu bahawa Adik baik-baik saja di sini.

jika Adik tahu itu kali terakhir.
Adik sudah bersiap sedia untuk hidup sendiri.
Adik sudah menyusun langkah sendiri.
supaya esok tidaklah Adik berasa sunyi jauh sekali berasa sepi.

Syukur~
Adik dapat rasakan itu kali terakhir.
segala yang Adik risaukan, dapat Adik buat untuk Mak.

Syukur~
Allah bagi Adik peluang.
menjaga Mak di sepanjang hayat Mak.
melakukan segala yang terbaik buat Mak.
meniti hari-hari akhir bersama Mak.
menemani Mak ketika Mak perlukan kekuatan dari Adik.

dan syukur Allah juga kurniakan Adik satu rasa.
bahawasanya, sebuah perpisahan bakal menjelma.
jadi, tidak satu detik pun Adik bazirkan untuk buat Mak rasa bahagia.
.
.
Mak~
Adik sayaaaaang Mak 💛

#NaskahCintaBuatMak #Love #Mother #Mak #Ohana #AdikSayaaaaangMak #AlFatihahBuatHajahRaminahBtHasan #MyMumtazQaisara #28September2016

Kita Hanya Manusia Biasa

Kita hanya manusia biasa. Yang alpa yang lupa. Kadang hanya tahu menadah tangan meminta dari yang Maha Esa. Namun, mengucap syukur boleh dib...