Thursday, July 29, 2021

Kita Hanya Manusia Biasa

Kita hanya manusia biasa.

Yang alpa yang lupa.

Kadang hanya tahu menadah tangan meminta dari yang Maha Esa.

Namun, mengucap syukur boleh dibilang dengan jari sahaja.


Kita hanya manusia biasa.

Seorang peminta yang sering terlupa timbangan amalan menyenget ke kiri.

Solat hanya cukup sekadar tujuh belas rakaat sehari.

Mengaji? Cukup sekadar bacaan di dalam solat.

Akan tetapi, permintaan berjela-jela.


Kita hanya manusia biasa.

Hari ni sujud, hari esok terkinja-kinja.

Hari ni memohon ampun, hari esok melakar dosa.

Hari ni menangis sedu sedan, hari esok ketawa ria.

Ya Allah, masih ada ruang untuk aku si pendosa?


Kita hanya manusia biasa.

Musibah menimpa, Quran dibaca.

Semasa meminta bermanis kata.

Ketika berada, zikir terlupa.

Memuji yang Esa, entah bila.


Kita hanya manusia biasa.

Harus mula walau sekecil usaha.

Harus istiqomah setelah bermula.

Kerana Allah memandang pada usaha.

Adakah kita terus USAHA untuk berada di jalanNya.

Adakah kita terus USAHA untuk terus sujud padaNya.

Adakah kita terus USAHA  untuk medapatkan tiket ke syurgaNya.


Usaha dan terus berusaha.

Mungkin kecil di mata kita, tapi besar ganjaran di SANA.

Mungkin nampak tak seberapa, namun mulia di sisiNya.

Mungkin tidak punya ganjaran harta, namun ganjaran pahala membukit di Syurga.


Wallahualam 



Wednesday, January 27, 2021

Terkilan Itu Selalu Hadir Tatkala Segalanya Sudah Terlewat

Bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Sambil melayan muatan perasaan yang melebihi had.

Hati berselimut gundah, jiwa berbantalkan kesal.

Semakin difikirkan, semakin sakit untuk ditelan.


Hari pertama, aku masih dalam fasa belum menerima.

Hati giat berkata, tiada apa yang berbeza.

Minggu pertama, aku masih tak berjaya mentafsir kisahnya.

Terlayang fikiran; kosong entah ke mana.

Bulan pertama, aku mula dirundum kesunyian.

KETIKA itu, aku mula sedar sedang berlaku sebuah kehilangan.

Kehilangan yang berpanjangan.


Melihat di dalam kamar, sosok tubuh itu sudah tiada.

Mencari di segenap sudut, suara itu tidak kedengaran.

Menjengah ke ruang dapur, haruman tumisan tiada lagi.

Melihat ke taman, pokok bunga semakin layu tidak bertuan.

Merayau aku tidak keruan....

Langsung tidak aku menemui jiwa yang telah hilang dibawa pergi.


KETIKA itu, tertolak aku ke suatu dunia gelap dan kelam.

Tangisan aku tidak kedengaran.

Jeritan aku tertahan-tahan.

Karena aku tahu, segala itu tidak berjaya untuk mengembalikan.


Terlalu banyak yang belum aku tunaikan.

Terlalu banyak dosa semalam yang belum aku pohon kemaafan.

Terlalu anak ini tumbang oleh perasaan.

Terlalu payah untuk anak ini bangkit melihat awan.

Terlalu berat kaki anak ini ingin memijak bumi Tuhan.

Terlalu banyak hati mu yang telah aku guriskan.


Duhai Tuhan, kenapa selalu datangkan terkilan di saat segalanya sudah terlewat?

Demi Tuhan, andai aku punya sesaat cuma.

Izinkan aku melihat kembali senyuman dan hangatnya dakapan seorang insan.

Mak, Adik rindu~


Kita Hanya Manusia Biasa

Kita hanya manusia biasa. Yang alpa yang lupa. Kadang hanya tahu menadah tangan meminta dari yang Maha Esa. Namun, mengucap syukur boleh dib...